PENUBUHAN JAWATANKUASA KABINET MENGENAI DASAR SEKURITI MAKANAN NEGARA
Mesyuarat Kabinet telah bersetuju agar Dasar Sekuriti Makanan Negara yang lebih holistik dan mampan dirangka bagi memperkukuh keselamatan makanan di semua peringkat rantaian makanan.
Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan bagi menyelaras strategi serta pelan tindakan dalam menangani isu sekuriti makanan negara untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Dasar yang dirangka adalah bersifat komprehensif dan mampu membantu kerajaan menangani isu sekuriti makanan secara berkesan.
Jawatankuasa ini akan mendapatkan input dan pandangan dari pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta petani, penternak dan nelayan.
Kerajaan ingin menegaskan bahawa secara amnya, bekalan makanan negara adalah mencukupi dan terkawal, namun terdapat keperluan untuk kedudukan sekuriti makanan negara diteliti dan ditambah baik.
Justeru, penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara ini bertepatan dalam menjamin tahap sekuriti makanan sentiasa berada dalam keadaan stabil dari aspek ketersediaan, mudah diakses, selamat dan mampu diperolehi rakyat sepanjang masa, dalam apa jua keadaan pada masa hadapan.
Dasar Sekuriti Makanan Negara ini kelak akan melengkapi Dasar Agromakanan 2.0 yang sedang digubal oleh Kementerian ketika ini, bahkan selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) dan Sustainable Development Goals (SDG).
Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dengan keahlian 11 menteri yang terdiri daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA), Menteri Kewangan (MOF), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Menteri Kesihatan (KKM), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Menteri Pengangkutan (MOT), Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).
SUMBER : Laman Facebook Kementerian Pertanian dan Industri Makanan
#DudukRumah
#StayAtHome